Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan amanat khas kepada rakyat Selangor yang disiar secara langsung di Facebook Amirudin Shari dan Media Selangor pada 11 Ogos 2023
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hati-hati undi esok: Pilih kemajuan atau PN kacau politik

SHAH ALAM, 11 OGOS: Orang ramai diingatkan turun mengundi esok dengan memilih gabungan yang berupaya membawa kemajuan dan seterusnya mengekalkan kestabilan negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan Kerajaan Perpaduan di Selangor menunjukkan pencapaian cemerlang sepanjang lima tahun termasuk mengatasi pelbagai krisis.

“Anda mempunyai pilihan antara gabungan yang akan meneruskan kejayaan, kecemerlangan dan kemajuan negeri ini.

“Ataupun gabungan yang hanya berminat untuk menggunakan pilihan raya negeri untuk mencetuskan ketidakstabilan politik negara, (mereka) terbukti tiada idea baharu dan tiada perancangan untuk Selangor, negeri yang kita cintai ini.

“Demi masa hadapan Selangor yang tercinta, masa depan anak-anak dan generasi akan datang, undilah calon-calon Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN),” katanya dalam amanat khas kepada rakyat Selangor yang disiar secara langsung hari ini.

Beberapa hari lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi dakwaan kononnya kerajaan persekutuan akan ditumbang jika Perikatan Nasional (PN) menang enam negeri pada pilihan raya 12 Ogos.

Pada hujung Jun, Pengerusi PN Selangor Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pula mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diturunkan daripada tampuk pemerintahan negara jika parti itu menang di Selangor.

Justeru, Amirudin yang juga pengerusi HARAPAN negeri menyeru pengundi supaya menunaikan amanah dengan penuh tanggungjawab dan menyingkir emosi dan ego ketika membuang undi.

“Kita harus menyingkirkan emosi dan ego ketika memilih pimpinan negeri. Jangan sesekali dipengaruhi rasa benci. Ini bukanlah zero-sum game (menang dapat semua, kalah hilang semua).

“Janganlah kerana pilihan raya, kita menaruh dendam dan menanam benih kebencian. Janganlah kerana pilihan raya kita suudzon (sangka jahat) terhadap akidah saudara kita,” katanya.

Politik negara terumbang-ambing susulan pembelotan sekumpulan ahli politik pada Februari lalu. Krisis itu menyebabkan pertukaran pentadbiran di beberapa negeri dan juga pembubaran awal tiga Dewan Undangan Negeri antara Julai 2020 hingga Januari 2022.


Pengarang :