Pihak berkuasa menjalankan siasatan di lokasi pesawat terhempas di Elmina Shah Alam pada 17 Ogos 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Ikwan Hafiz Jamaluddin nafi dirinya antara 10 mangsa nahas pesawat

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Anak lelaki Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, Ikwan Hafiz menafikan beliau antara 10 mangsa yang terkorban, dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, petang tadi.

Ikwan, 36, dalam kenyataan ringkas berkata laporan yang disiarkan dalam media utama menyatakan, namanya antara yang tersenarai menaiki pesawat ringan berkenaan adalah tidak benar dan palsu.

“Saya kesal dengan tindakan segelintir pengamal media yang tidak bertanggungjawab dan menyiarkan berita secara melulu, tanpa sebarang semakan sehingga menimbulkan spekulasi yang mengganggu ketenteraman keluarga.

“Sehubungan itu saya minta masyarakat umum menghentikan penyebaran berita palsu berkenaan. Pada masa sama, saya mewakili keluarga ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa terlibat,” katanya.

Terdahulu, polis mengesahkan orang kenamaan merupakan antara 10 lelaki maut dalam nahas pesawat berkenaan.

Antara yang terkorban ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai Datuk Seri Johari Harun.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud dalam kenyataan memaklumkan Menara Kawalan Trafik Udara Subang telah melihat asap dari lokasi nahas pada 2.51 petang.

Pesawat berkenaan sebelum itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dengan membawa lapan orang termasuk dua kru penerbangan.

– BERNAMA


Pengarang :