Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyampaikan Insentif Haji Muassasah kepada bakal jemaah di Masjid At-Tuqo, Tanjong Karang, Kuala Selangor pada 9 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Insentif haji RM500 masih boleh dimohon sehingga Selasa depan

SHAH ALAM, 23 OGOS: Permohonan Insentif Haji Muassasah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi tahun ini masih dibuka sehingga Selasa depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat 8 Ogos, seramai 2,200 jemaah layak menerima sumbangan wang tunai RM500 serta cenderahati.

“Insentif Haji Muassasah yang diwujudkan sejak lima tahun lalu merupakan keprihatinan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan syiar Islam.

“Tahun ini, Kerajaan Negeri menyasarkan 3,000 jemaah haji menerima manfaat ini. Sehingga 8 Ogos lepas, seramai 2,200 permohonan telah diluluskan,”katanya di Facebook.

Minggu lalu, Ketua Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata dokumen permohonan boleh dihantar ke Café LG, Bangunan Darul Ehsan dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari pada setiap Isnin dan Selasa.

Dokumen diperlukan ialah satu salinan kad pengenalan pemohon beserta surat tawaran mengerjakan Haji Muassasah 1444H/2023M yang menyatakan kos bayaran (muka hadapan sahaja) dan jadual penerbangan yang lengkap dengan kod MUAS.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-5513 8898 (CSR) atau emel [email protected]


Pengarang :