Calon HARAPAN DUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman menyantuni golongan belia ketika santai minum petang di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh, Shah Alam pada 2 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Isu komisen syarikat p-panggilan antara tumpuan Mohd Khairudin

SHAH ALAM, 4 OGOS: Penetapan kadar komisen terlalu tinggi oleh syarikat p-panggilan kepada pengendali restoran antara isu tumpuan calon kerusi Paya Jaras.

Mohd Khairudin Othman berkata beliau akan mengangkat isu tersebut terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya permasalahan itu dapat diselesaikan bagi kedua-dua pihak.

“Sebelum ini, menerusi pertemuan dengan pekerja p-panggilan, PM memaklumkan akan berjumpa dengan semua syarikat berhubung perkara (kadar rendah). Kini, saya akan mengusulkan perkara sama tetapi bagi pihak pengendali restoran pula.

“Pengendali restoran memaklumkan kadar dikenakan terhadap mereka agak tinggi dan bukan sahaja menekan pemilik tetapi juga pelanggan,” katanya ditemui selepas bertemu dengan wakil pengendali restoran semalam.

Sementara itu, pengusaha restoran, Fareed Mohd Ali, 47, berkata beliau sudah menjalankan perniagaan sejak 12 tahun lalu dan kadar dikenakan syarikat p-panggilan agak tinggi.

“Syarikat p-panggilan mengenakan kadar antara 30 hingga 35 peratus daripada harga asal menu di kedai yang memang membebankan pelanggan sekali gus memberi kesan kepada pendapatan harian.


Pengusaha restoran, Fareed Mohd Ali, 47, mahu pihak bertanggungjawab mengkaji semula kadar komisen syarikat p-panggilan ketika ditemui di Paya Jaras pada 3 Ogos 2023. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

“Namun, ada sesetengah syarikat p-panggilan mengurangkan kadar 28 peratus bergantung pada jualan dan waktu. Saya berharap perkara ini dapat dilihat semula dan pada masa sama tidak membebankan kedua-duanya,” katanya.

Baru-baru ini, menerusi pertemuan bersama pekerja p-panggilan di Petaling Jaya, Anwar memaklumkan akan bertemu dengan semua syarikat p-panggilan untuk berbincang berkenaan kadar upah penghantaran makanan yang semakin rendah.

Pada masa sama, Anwar turut meluluskan peruntukan RM1 juta untuk pembentukan jawatankuasa pekerja p-panggilan bagi memastikan kebajikan golongan itu terbela.


Pengarang :