Persembahan tarian Jooh oleh Orang Asli Mah Meri sempena acara penutup kayuhan Selangor 600: Our Community, Our Home di Perkampungan Budaya Mah Meri Pulau Carey, Kuala Langat pada 12 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jakoa kaji akta libat pemilikan tanah, daftar kahwin dan kelahiran

MELAKA, 27 OGOS: Kajian dan sesi libat urus bagi memperkasakan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) sedang giat dilaksanakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), kata Ketua Pengarahnya Datuk Sapiah Mohd Nor.

Beliau berkata pemerkasaan Akta 134 berkenaan merangkumi pelbagai perkara termasuk pemilikan tanah, pendaftaran perkahwinan dan kelahiran anak Orang Asli.

“Saya harap masyarakat Orang Asli dalam masa lima hingga 10 tahun akan datang akan memiliki tanah setaraf atau sama dengan masyarakat perdana yang bergeran (menerusi pemerkasaan Akta 134 ini).

“Ia sekali gus dapat memberi masa hadapan yang lebih baik kepada golongan berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-74 Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Pada Istiadat berkenaan, beliau dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.

Pada Februari lepas, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata pindaan akta itu penting memandangkan terdapat beberapa kekangan melibatkan hak masyarakat Orang Asli.

-BERNAMA


Pengarang :