AGENSISELANGOR

Jana pendapatan, usahawan HIJRAH dipelawa sertai jualan TikTok

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 26 OGOS:  Yayasan Hijrah Selangor (HIJRAH) mempelawa usahawan dibawah naungannya berkolaborasi membuat jualan TikTok Live sempena sambutan Hari Merdeka, 9 September dan Hari Malaysia.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan usahawan berminat boleh mendaftar sebelum tarikh tutup pada 3 September.

“Sertai kami berkolaborasi dalam membuat jualan TikTok Live di akaun rasmi @hijrahselangorofficial sempena sambutan Hari Merdeka, 9.9 dan Hari Malaysia yang akan datang.

“Kami akan menjadi host anda dan bersama-sama berganding dalam membuat jualan live. Jom tingkatkan perniagaan anda bersama kami,” menurut agensi terbabit.

HIJRAH memaklumkan antara syarat menyertai program terbabit adalah usahawan sudah menghadiri kelas Strategi Super TikTok 2023 Hijrah, memiliki beg kuning dan TikTok Shop Affiliate selain mesra dan boleh berinteraksi secara ‘live’.

Mereka yang berminat boleh mendaftar menerusi  http://tiny.cc/TiktokLiveHijrahSelangor atau imbas kod QR tertera.

Sebelum ini, HIJRAH menyasarkan seramai 600 usahawan menyertai program Strategi Super TikTok yang dijalankan dengan kerjasama Kumpulan Peransang Selangor Berhad (KPS) yang menyediakan 15 kelas bermula Jun sehingga November ini.

Program berkenaan membantu usahawan mempromosi produk menerusi aplikasi TikTok agar mampu meningkatkan jualan sekali gus menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam perniagaan secara fizikal dan juga atas talian.

HIJRAH menyalurkan RM300,000 bagi menjayakan program berlandaskan pendigitalan melibatkan usahawannya.


Pengarang :