Sebahagian peserta yang menghadiri temu duga ketika program Jelajah JobCare di Dewan Utama Demesne, Hulu Langat pada 21 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jelajah Jobcare Sabtu ini, tawar lebih 10,000 peluang kerja

SHAH ALAM, 22 OGOS : Jelajah JobCare siri kedua anjuran Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) bakal diadakan 26 Ogos ini, di Menara Yayasan Selangor Petaling Jaya.

Ketua Penyelarasnya Vijayan Subramaniam berkata program yang diadakan bermula jam 9 pagi hingga 5 petang itu menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan antaranya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan logistik.

“Kita mengalu-alukan kehadiran orang ramai termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) pelbagai peringkat usia untuk ke Jelajah JobCare Sabtu ini dengan membawa resume dan berpakaian kemas.

“Kita menawarkan sekurang-kurangnya 20 majikan daripada pelbagai syarikat dan agensi yang akan turut serta di lokasi untuk menjalankan temu duga bersama peserta program pada hari tersebut,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, Vijayan berkata UPPS akan turut  menganjurkan kursus penunggangan berhemah pada hari tersebut di Safety Driving Centre, Petaling Jaya yang disertai 100 pekerja p-panggilan.

“Kursus ini dianjurkan bertujuan memberi kesedaran pentingnya keselamatan di jalan raya memandangkan kebanyakan kemalangan berlaku membabitkan penunggang motosikal.

“Kita harap dengan kursus ini, penunggang motosikal akan lebih berhati-hati dan pada masa sama dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya.

Susulan sambutan memberangsangkan, Vijayan turut berkongsi jadual Jelajah JobCare seterusnya yang akan diadakan di Pusat Komuniti Gombak bagi daerah Gombak pada 9 September dan Universiti Cyberjaya, Sepang (14 September).


Pengarang :