(Dari kiri) Tiga sekawan, Siti Maimunah Ismail, Zainah Abdul Latif, dan Roslia Mohd Jamil mengunjungi Jualan Ehsan Rahmah MPKK Bukit Kapar di Arena Square Bukit Kapar pada 22 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

JER jadi tempat tiga sekawan warga emas tanya khabar, berbelanja

Oleh Nas Norziela Nasbah

KLANG, 22 OGOS: Tiga sekawan warga emas tidak melepaskan peluang berkunjung ke Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan barangan murah selain memberi peluang buat mereka berkumpul untuk bertanya khabar.

Seawal jam 8 pagi Zainah Abdul Latif, 78, Roslia Mohamad Jamil, 66, dan Siti Maimunah Ismail, 65, menunggu kaunter JER dibuka di Arena Square, Bukit Kapar di sini hari ini.

“Datang awal boleh berbual dengan rakan-rakan. Kadang-kadang tak sempat jumpa waktu lain, di sini pula bertemu.

“Saya duduk bersama anak dan tujuh orang cucu di rumah. Jadi perbelanjaan itu agak besar jika hendak beli di pasar raya.

“Adanya jualan murah ini, saya dapat menarik nafas lega, sekurangnya meringankan beban anak yang mempunyai keluarga besar tinggal bersama,” kata Zainah.

Bagi Siti Maimunah pula berbelanja di JER ibarat ‘lokasi wajib’ kerana barangan yang ditawarkan murah.

“Bawa RM50 dah cukup bagi saya. Kegunaan untuk seminggu atau lebih kerana anak-anak pun dah besar.

Salmi Kasban

“Cuma berbelanja di sini bagaikan aktiviti wajib kerana ia murah dan kami dapat berjimat,” katanya.

Manakala Salmi Kasban, 71, mahu jualan murah itu diteruskan kerana membantu semua lapisan masyarakat berbelanja.

“Bertuah jadi penduduk di negeri Selangor ini. Kalau kat luar, RM50 barang yang dapat dibeli mungkin dalam kuantiti sedikit.

“Tetapi di sini (JER) macam-macam dapat bawa balik dengan RM50. Seperti hari ini, bukan sahaja ayam, telur, daging dan ikan tetapi sayuran juga disediakan untuk pembeli,” katanya.

Ahli Dewan Undangan (ADN) Meru Mariam Abdul Rashid (kiri) berswafoto dengan pengunjung Jualan Ehsan Rahmah MPKK Bukit Kapar di Arena Square Bukit Kapar pada 22 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru Mariam Abdul Rashid pula berkata JER sememangnya dinantikan penduduk.

“Inisiatif ini adalah untuk semua lapisan masyarakat bermaksud JER akan diteruskan dan di kawasan Meru ini, saya akan pastikan tiada tempat yang tertinggal untuk menerima manfaat ini.

“Sebagai wakil rakyat, setiap keluhan dan kebajikan rakyat dapat disantuni termasuklah memberi yang terbaik seperti inisiatif JER ini dijalankan di lokasi strategik.

“Ia adalah bagi memudahkan urusan jual beli dijalankan,” katanya.

JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).


Pengarang :