Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah di Jualan Ehsan Rahmah DUN Bandar Baru Klang di Surau Al Falah, Klang pada 24 Ogos 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Jualan murah DUN Bandar Baru Klang manfaat lebih 8,000 penduduk sejak Januari

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

SHAH ALAM, 24 OGOS: Program Jelajah Ehsan Rahmah (JER) yang diadakan di lebih 20 lokasi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang memanfaatkan lebih 8,000 penduduk.

Wakil rakyatnya Dr Quah Perng Fei berkata jumlah itu dicatat sejak awal tahun hingga hari ini dengan memberi fokus kawasan yang diduduki golongan kurang berkemampuan (B40).

Wakil rakyat Bandar Baru Klang Dr Quah Perng Fei ketika Jualan ehsan Rahmah DUN Bandar Baru Klang di Surau Al Falah, Klang pada 24 Ogos 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Setiap kali penganjuran jualan murah ini saya lihat rata-rata pembeli sangat berpuas hati dengan barangan yang ditawarkan kerana kualitinya baik dan segar.

“Mereka sangat berharap jualan ini akan diteruskan dan kita usahakan untuk adakan jualan ini sekurang-kurangnya empat kali dalam tempoh sebulan antaranya di Klang Utama, Taman Sri Pekan, Batu Belah dan Pangsapuri Cempaka,” katanya.

Ditemui pada program JER di perkarangan Surau Al-Falah Taman Sri Pekan di sini beliau berkata pihaknya turut memanfaatkan program berkenaan untuk bertemu penduduk dan menyebarkan beberapa insentif yang disediakan Kerajaan Negeri.

Wakil rakyat Bandar Baru Klang Dr Quah Perng Fei beramah mesra bersama pengunjung Jualan ehsan Rahmah DUN Bandar Baru Klang di Surau Al Falah, Klang pada 24 Ogos 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Bila jualan ini diadakan, kita dapat tarik ramai penduduk keluar, sebab itu kita ambil kesempatan ini untuk memperkenalkan beberapa program seperti Skim Insurans Rakyat Selangor (INSAN) dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

“Untuk masa akan datang, saya juga merancang untuk menyelitkan program ceramah kesihatan dan juga pemeriksaan kesihatan agar dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk,” katanya.

JER menjual harga ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Lokasi terkini JER boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR Jadual JER pada imej infografik PKPS atau rujuk pautan http://linktr.ee/myPKPS

Setakat Julai, penganjuran JER diadakan di lebih 2,400 lokasi dengan mencatat nilai jualan RM60 juta termasuk pemberian subsidi bersasar lebih RM20 juta dari Kerajaan Negeri.


Pengarang :