Penduduk DUN Sentosa mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika Jelajah Ehsan Rahmah di tapak pasar malam Taman Klang Jaya pada 23 Ogos 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah DUN Sentosa manfaat lebih 15,000 penduduk sejak Disember

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

KLANG, 23 OGOS: Program Jelajah Ehsan Rahmah (JER) yang diadakan di lebih 30 lokasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa memanfaatkan lebih 15,000 keluarga.

Penyelaras JER Taman Klang Jaya, M Mahendran berkata, jumlah itu dicatatkan bermula Disember lalu hingga hari ini dengan rata-rata pengunjung berpuas hati inisiatif Kerajaan Negeri membantu meringankan beban mereka.


Penyelaras JER Taman Klang Jaya M Mahendran ditemui ketika Jelajah Ehsan Rahmah di tapak pasar malam Taman Klang Jaya pada 23 Ogos 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Sambutan diterima sangat menggalakkan malah ramai penduduk berharap program ini diteruskan serta ditambah baik dari segi kuantiti barangan yang disediakan.

“Hari ini 400 penduduk sekitar hadir dan barangan jualan habis kurang dua jam sahaja.

“Sebanyak 500 ekor ayam, 300 pek ikan, 300 papan telur, 300 pek daging, 300 kampit beras dan 150 pek minyak selain barangan runcit dan sayur-sayuran dibawa hari ini,” katanya yang juga Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK).

JER menjual harga ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Sementara itu, suri rumah Rashidah Mohd Nor, 50, berkata, harga ayam yang murah iaitu RM10 seekor banyak membantu menjimatkan perbelanjaan keluarganya kerana dia perlu memasak seekor setiap hari untuk ahli keluarga lebih 10 orang.


Suri rumah Rashidah Mohd Nor ditemui ketika Jelajah Ehsan Rahmah di tapak pasar malam Taman Klang Jaya pada 23 Ogos 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Bayangkan jika beli di luar seekor ayam bersaiz besar berharga lebih RM20.

“Jadi, saya harap program ini dapat menyediakan lebih seekor ayam untuk seorang pembeli terutama keluarga ramai seperti saya serta dilaksanakan lebih kerap terutama di sini,” katanya.

Bagi Santha Dewi, 58, yang sudah dua kali berkunjung ke jualan murah itu memuji program berkenaan serta banyak yang boleh dijimatkan berbanding berbelanja di pasar raya.

“Keluarga saya ada enam orang di rumah, jika tiada jualan murah seperti ini memang kami terpaksa berbelanja dengan berhemah.


Santha Dewi ditemui ketika Jelajah Ehsan Rahmah di tapak pasar malam Taman Klang Jaya pada 23 Ogos 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Bawa RM50 saja sudah cukup untuk membeli banyak bahan mentah seperti beras, ayam, telur dan minyak,” kata suri rumah itu lagi.

Lokasi terkini JER boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR Jadual JER pada imej infografik PKPS atau rujuk pautan http://linktr.ee/myPKPS

Setakat Julai, penganjuran JER diadakan di lebih 2,400 lokasi dengan mencatat nilai jualan RM60 juta termasuk pemberian subsidi bersasar lebih RM20 juta dari Kerajaan Negeri.


Pengarang :