Penduduk sekitar Semenyih mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika Jualan Ehsan Rahmah di Medan Selera Semenyih pada 24 Ogos 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah ringan beban keluarga besar, harap dianjur lebih kerap

OLEH FHATIHAH ZAKINAN

HULU LANGAT, 24 OGOS: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) berlangsung di Medan Selera Pekan Semenyih melegakan penduduk khususnya dalam kalangan keluarga besar.

Pesara, Che Mat Said, 71, berkata jualan murah barangan asas itu dapat menjimatkan belanja dapur keluarganya seramai lapan orang.

“Barang asas di sini murah dan dapat jimat banyak belanja keluarga saya. Kalau boleh, selalulah adakan jualan ini,” katanya ketika ditemui di program jualan murah itu peringkat DUN Semenyih.

Sriana Suparman, 42

Bagi Musrina Mustapa, 44, dari Taman Semenyih Indah, dia teruja barang jualan kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu sangat murah.

“Tak sangka barangan asas di sini sangat murah, sebab saya kali pertama membeli. Sekurang-kurangnya dapat membantu melegakan penduduk berpendapatan rendah,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Sriana Suparman, 42, pula berkata dia sentiasa mengikuti pengumuman lokasi penganjuran JER agar tidak terlepas peluang membeli barang dapur pada harga murah.

“Saya dah lebih 10 kali ke JER, kalau diadakan di luar kawasan pun saya pergi sebab selalu tengok lokasi daripada PKPS.

“Cuma kali ini, lebih banyak pilihan kerana ada barangan asas tambahan lain,” katanya.

Musrina Mustapa, 44

JER menawarkan ayam standard serendah RM10 seekor, daging pejal segar (RM10/pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10) selain barangan asas tambahan seperti bihun kering, tepung gandum, sardin, kaya, dan empat jenis ikan.

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program kendalian anak syarikat Kerajaan Negeri, memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :