AGENSISELANGOR

Karnival PDRM Selangor Merdeka Ride tawar potongan saman hingga 50 peratus

SHAH ALAM, 22 OGOS : Sebanyak 50 peratus potongan pembayaran saman ditawarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Karnival PDRM Selangor Merdeka Ride 2023 Sabtu ini.

Menerusi Facebook Pusat Informasi Negeri Selangor, karnival bermula jam 7 pagi hingga 7 malam itu diadakan di Tapak Karnival Stadium Shah Alam di sini.

Bagaimanapun, potongan kompaun itu tidak ditawarkan bagi kesalahan seperti kemalangan, saman berstatus op selamat, saman bicara mahkamah, saman berkaitan kenderaan berat dan saman kesalahan memotong secara bahaya.

Selain itu, potongan itu juga tidak termasuk kepada saman berkaitan guna lorong kecemasan, saman tidak patuh isyarat lampu merah, saman memotong di garisan berkembar dan saman kesalahan pengubahsuaian ekzos kenderaan.

“Orang ramai dijemput memeriahkan program itu kerana turut diadakan pelbagai aktiviti menarik antaranya kayuhan Merdeka bersama pelumba basikal profesional Malaysia Anuar Manan dan pelbagai hadiah disediakan bagi cabutan bertuah,” maklum menerusi Facebook.

Selain itu, pengunjung juga bakal dihiburkan dengan persembahan artis popular Dato’ Awie, Hazama, Saiful Apek, Yassin Senario, CD Data, Baggio Damasutra , Eka AF, Haziq AF, Pablo Amirul, Nadia AF dan Zur Eda.

Ibu bapa juga boleh membawa anak mereka meluangkan masa hujung minggu dengan membuat pelbagai aktiviti di situ antaranya adalah ‘petting zoo’, ‘fun fair’ dan pertunjukan silap mata.


Pengarang :