Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan bersama 24 syarikat pengendali perkhidmatan p-panggilan di Pejabat Perdana Menteri pada 8 Ogos 2023. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Kerajaan setuju tingkat dana latihan kemahiran pekerja p-panggilan

SHAH ALAM, 8 OGOS: Kerajaan bersetuju meningkatkan dana bagi inisiatif dan latihan peningkatan kemahiran penghantar barangan (p-panggilan) yang diterajui Kementerian Sumber Manusia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu hasil perbincangan bersama syarikat pengendali perkhidmatan berkenaan, yang turut memberi komitmen untuk lebih telus dalam kiraan upah.

“Penelitian lanjut ini penting dalam menambah baik kadar upah penghantar dengan kepentingan pengguna khususnya di luar bandar harus kekal diutamakan agar tidak terbeban, di samping turut mengambil kira keupayaan syarikat.

“Ikhtiar ini membuktikan kerajaan peka dan mengambil berat kepentingan semua pihak dalam meningkatkan pendapatan rakyat dan memastikan kesinambungan perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan perjumpaan bersama 24 syarikat pengendali dibuat susulan maklum balas rakan penghantar yang diajukan kepadanya dalam satu pertemuan pada 22 Julai.

Anwar menjelaskan perbincangan itu turut disertai beberapa menteri, pegawai kanan dan lima wakil penghantar bagi menyatakan pandangan dan mendengar penerangan pihak syarikat.

“Perbincangan antaranya berkisar tentang pendapatan penghantar, jaringan keselamatan sosial serta keperluan latihan peningkatan kemahiran.

“Saya turut mendengar pandangan dan aduan daripada syarikat pengendali yang beroperasi di luar Lembah Klang, yang tertumpu kepada perkhidmatan di luar bandar,” katanya lagi.

Bulan lalu, Anwar yang juga menteri kewangan meminta tempoh seminggu untuk bertemu syarikat p-panggilan bagi membincangkan isu berkaitan kadar upah yang dikatakan semakin rendah.

 

 


Pengarang :