Kakitangan syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd giat melaksanakan kerja baik pulih dan menurap Jalan Kemandul Utama, Jenjarom, Kuala Langat pada 22 Ogos 2023. Foto X Infrasel
AGENSISELANGOR

Kerja turap jalan mega negeri diteruskan di Kuala Langat

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 23 OGOS: Kerja baik pulih jalan besar-besaran bawah Projek Turapan Mega yang giat dilaksana di seluruh negeri sejak Mei lalu diteruskan di daerah Kuala Langat.

Syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) memaklumkan kerja penurapan semula dilaksanakan di Jalan Kemandul Utama, Jenjarom sejak semalam.

“Infrasel sedang melaksanakan kerja baik pulih permukaan jalan raya di laluan Jalan Kemandul Utama, Jenjarom, Daerah Kuala Langat. Kesulitan hari ini demi kesenangan hari esok,” maklumnya ringkas di laman sosial X.

Setakat Ogos kerja turapan mega dilaksanakan di beberapa lokasi antaranya di Jalan Marmu dan B13 Jalan Ayer Hitam dan Jalan Murni, Sepang; Jalan Tepi Sekolah Kampung Belia 1, Jalan Cross Ban 1 serta Jalan Kubur Lintang, Kampung Tengah (Sabak Bernam).

Semalam, Eksekutif Operasi Infrasel Abdullah Hanif Abd Ghalib memaklumkan pelaksanaan 93 projek baik pulih jalan secara besar-besaran di seluruh negeri yang dimulakan awal Jun lalu mencapai 86 peratus setakat ini.

Tambahnya pembaikan jalan bawah Projek Turapan Mega dengan kos RM50 juta dijangka selesai pada September dengan keutamaan jalan yang perlu dibaiki turut mengambil kira aduan orang awam.

Kakitangan syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) giat melaksanakan kerja baik pulih dan menurap Jalan Cross Ban 1, Sabak Bernam pada 8 Ogos 2023. Foto Twitter Infrasel

Pada 21 Julai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pentadbiran negeri menerusi Infrasel berjaya menyelesaikan lebih 80 peratus masalah jalan raya di Selangor.

Menurut Amirudin syarikat penyelenggara itu dianggarkan menerima antara 600 hingga 700 laporan jalan rosak setiap bulan sejak ditubuhkan dua tahun lalu.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim memaklumkan kerja turapan jalan rosak dilaksana secara besar-besaran di sembilan daerah meliputi jarak 94.9km, bermula bulan lalu.

Beliau berkata projek melibatkan 118 jalan merangkumi jalan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta pejabat daerah dan tanah (PDT).

Jalan terlibat meliputi 66 di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (lapan).


Pengarang :