PBT

Kes denggi terus menurun, MBPJ saran penduduk teruskan gotong-royong

PETALING JAYA, 28 OGOS: Kes denggi di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada minggu ke-33 menurun kepada 3,470 berbanding 3,581 kes pada minggu sebelumnya.

Datuk Bandarnya Mohamad Azhan Md Amir berkata penurunan sebanyak dua peratus atau 111 kes itu menunjukkan komitmen MBPJ dalam mengatasi masalah berkenaan.

“Jumlah lokaliti wabak adalah sebanyak 62 kawasan iaitu 46 terkawal dan lapan ‘hotspot’. Sementara itu empat masing-masing lokaliti wabak tidak terkawal dan baharu dikesan.

“Lapan ‘hotspot’ dilaporkan ialah di PJU 9 SD 13 Paradesa Rustiqa Kondo, PJU 5 Seksyen 4 Gugusan Semarak, SS1 (Teres 5), SS2, PJS 6 Flat Desa Mentari 2 (BLOK 4, 5, 6, PJS 8 Mentari Court, PJU 1A Pasific Place dan PJS 2C APT Medan Cahaya 1 (BLOK A, B, C),” katanya pada mesyuarat bulanan di ibu pejabat pihak berkuasa tempatan itu hari ini.

Beliau turut mengingatkan penduduk untuk terus melaksanakan program gotong-royong dengan lebih kerap supaya kes denggi terus menurun.

“Tiada kes kematian baharu dilaporkan dan saya menyeru kepada semua untuk terus berganding bahu dalam menangani kes ini

“Bagi pemimpin masyarakat, terus adakan program gotong-royong dengan membersihkan kawasan sekitar masing-masing secara kerap agar kes denggi ini terus menunjukkan prestasi menurun,” katanya.


Pengarang :