Murid melakukan demonstrasi menunggang motosikal ketika program advokasi keselamatan jalan raya daerah Petaling bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor di SMK Bandar Utama (2) pada 23 Ogos 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Laksana program keselamatan jalan raya di sekolah, sasar kurangkan nahas pelajar

Oleh FHATIHAH ZAKINAN

PETALING JAYA, 24 OGOS: Program advokasi keselamatan jalan raya wajar dilaksanakan di sekolah bagi mengurangkan angka nahas kemalangan khususnya di kalangan pelajar.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Selangor berkata ia susulan rekod menunjukkan penunggang motosikal dalam kalangan belia mencatatkan kes kematian tertinggi akibat kemalangan jalan raya.

Mohamad Zahri Samingon berkata, berdasarkan statistik, 545,630 kes kemalangan jalan raya melibatkan 6,067 mangsa maut direkodkan tahun lalu.

“Sebagai contoh, dari 2019 sehingga 2021, secara purata 7,077 kes kemalangan jalan raya membabitkan belia dicatatkan setiap tahun.

“Pelbagai faktor dikenalpasti, salah satunya sikap dan disiplin pengguna jalan raya,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Ketua Penolong Pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Norazlina Yusof.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Daerah Petaling bersama JPN Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama Damansara 2 di sini semalam.

Turut hadir Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Mhd Nadzri Mhd Tajudin mewakili Pengarah Pendidikan Dr Jafri Abu dan Pegawai Daerah Petaling merangkap Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Petaling Jaya, Rahilah Rahmat.

Dalam program itu Rahilah menyampaikan topi keledar, jaket dan pelekat pantulan cahaya kepada 50 pelajar terpilih selepas konvoi Jalur Gemilang melibatkan 50 motosikal dan 10 kereta tiba dari Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling, sempena Hari Kebangsaan Ke-66.

Sementara itu, Dr Jafri dalam teks ucapannya berkata program julung kali itu untuk mengukuhkan pengetahuan warga sekolah khususnya murid berkaitan aspek undang-undang dan keselamatan jalan raya.

“Program ini membina iklim kondusif kepada keselamatan warga sekolah di pelbagai peringkat dan sekolah perlu mengadakan program seperti ini dengan melibatkan ibu bapa,” katanya.


Pengarang :