Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau Jualan Ehsan Rahmah di Batu Caves pada 6 Ogos 2023. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 4 juta penduduk terima manfaat program Jualan Ehsan Rahmah

SHAH ALAM, 6 OGOS: Seramai 4.4 juta penduduk Selangor menerima manfaat program Jualan Ehsan Rahmah (JER) setakat ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri membelanjakan sejumlah RM23 juta dalam bentuk subsidi untuk program berkenaan.

“Alhamdulillah sehingga kini RM23 juta telah dibelanjakan Kerajaan Negeri dalam bentuk subsidi bagi barangan keperluan asas di Selangor.

“Seramai 4.4 juta rakyat Selangor telah menerima manfaat dari program JER ini,” katanya menerusi Facebook.

Amirudin yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua berkata program berkenaan akan diperluas jika diberi mandat pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

“Insya-Allah dengan mandat yang akan diberikan pada pilihan raya nanti kita akan perluaskan program ini untuk memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat Negeri Selangor. Pilih perpaduan demi kestabilan dan kemakmuran Selangor,” katanya.

Jualan itu antaranya menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Program tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga Disember ini, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.


Pengarang :