Little India, Klang pada 15 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Little India Klang dinaik taraf sejajar pemasyhuran MPK sebagai bandar raya

SHAH ALAM, 4 OGOS: Little India Klang di Jalan Tengku Kelana, Klang akan dinaik taraf sejajar pemasyhuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebagai bandaraya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bagaimanapun pengindahan lokasi beli-belah popular itu masih mengekalkan identiti Klang sebagai Bandar DiRaja.

“Saya akan pastikan Little India Klang boleh ditambah baik selari pengumuman Klang sebagai bandaraya oleh KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

“Kita ambil perhatian perkara ini dan akan dibawa ke pengetahuan Yang Dipertua MPK Noraini Roslan,” katanya pada sidang media selepas perjumpaan bersama pimpinan India Malaysia di Pusat Konvensyen Midlands di sini hari ini.

Pada 26 Julai, kerajaan meluluskan cadangan menaik taraf MPK kepada Bandaraya Klang hasil kekuatan kewangan untuk meningkatkan daya huni dan kesejahteraan rakyat selain menyediakan perkhidmatan cekap.

Sementara itu, Amirudin berkata sejumlah RM5 juta daripada RM26.5 juta dana disalur Kerajaan Selangor bagi memenuhi keperluan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) seluruh negeri tahun ini.

Beliau menjelaskan peruntukan itu membuktikan komitmen pentadbiran ini membantu SJKT yang bukan dalam kategori sekolah bantuan penuh kerajaan.

“Selain naik taraf, dana ini boleh digunakan untuk menambah baik kemudahan fizikal sekolah seperti alat bantuan mengajar.

“Saya juga kena bincang dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk menambah peruntukan SJKT sebab sekolah kebangsaan juga perlu dilihat dan dibantu,” katanya.


Pengarang :