Jabatan Pengurusan Pendidikan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menganjurkan taklimat program Sekolah Angkat Zakat Selangor (PROSAZ) kepada pegawai pejabat pendidikan daerah dan guru-guru sekolah terlibat di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 28 Ogos 2023. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSISELANGOR

LZS-JPNS anjur program sekolah angkat, perkasa 1,500 pelajar asnaf

Oleh YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

SHAH ALAM, 29 OGOS: Seramai 1,500 pelajar asnaf peringkat sekolah rendah dan menengah dipilih menyertai program Sekolah Angkat Zakat Selangor (PROSAZ) anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Menurut agensi itu, program anjuran bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) yang membabitkan 20 sekolah bertujuan menerapkan pengisian akademik, motivasi, sahsiah dan bakat pelajar.

“LZS melalui Jabatan Pengurusan Pendidikan menjayakan program yang dijadual berlangsung pada 1 September hingga 15 Disember.

“Kami berharap program ini dapat meningkatkan kelancaran aktiviti literasi dan numerasi anak-anak asnaf dan menaikkan tahap 3M (membaca, menulis, mengira) mereka,” katanya menerusi Facebook.

Semalam, Jabatan Pengurusan Pendidikan LZS menganjurkan taklimat Program PROSAZ kepada JPNS, pegawai pejabat pendidikan daerah dan guru-guru PROSAZ.

Program itu juga bertujuan memperkasa pembangunan pendidikan peserta sekali gus dapat mengurangkan peratusan bagi asnaf yang keciciran atau tidak hadir ke sekolah.


Pengarang :