Calon HARAPAN DUN Seri Setia Dr Fahmi Ngah ketika ditemu bual Media Selangor di Bilik Gerakan Utama N32 Seri Setia pada 7 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Mahu dedah penduduk Seri Setia dengan digitalisasi, ekonomi gig

PETALING JAYA, 8 OGOS: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia tekad mahu menzahirkan aspirasi ‘Smarter Seri Setia’ sekiranya diberi mandat pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata tumpuan utamanya adalah mendigitalisasikan rakyat, memperkasa ekonomi gig dan anak muda serta menyelesaikan masalah infrastruktur.

“Saya yakin semua ini boleh dilaksana berdasarkan kepada pengalaman saya sebelum ini ketika bertugas di Smart Selangor Delivery Unit dan bekas kakitangan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (perdana menteri).

“Justeru berbekalkan kepada pengalaman ini saya yakin ‘Smarter Seri Setia’ dapat dilaksanakan yang mana pertama sekali saya mahu mempermudahkan kefahaman rakyat mengenai apa itu 47 Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

“Ada segelintir mungkin tahu tetapi ada sebahagiannya masih samar-samar dan tidak jelas bagaimana cara untuk memohon inisiatif itu. Oleh itu, saya fikir adalah lebih baik sekiranya semua itu kita dapat buat dalam satu portal atau aplikasi.

“Semua maklumat secara dalam talian, ia lebih memudahkan penduduk untuk memohon tanpa perlu berulang alik ke pusat khidmat masyarakat,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan DUN tersebut.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia Dr Fahmi Ngah bergambar bersama penyokong kerajaan perpaduan pada ceramah ‘Arus Merah Kuning’ peringkat DUN Seri Setia di Desa Mentari, Petaling Jaya pada 5 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Berkelulusan bidang doktor falsafah (PhD) Kejuruteraan Aeronautik dari Imperial College London, Dr Mohammad Fahmi berkata tumpuan lain adalah berkaitan gig ekonomi dan peluang pekerjaan anak muda.

Katanya, gig ekonomi tidak hanya bertumpu kepada pekerja e-panggilan sebaliknya kini ia meluas kepada beberapa bidang kemahiran dan sekiranya dibuat boleh memberi pulangan yang lumayan.

“Gig ekonomi ketika pandemik mungkin orang fikir e-hailing (e-panggilan) semata tetapi sekarang sebenarnya ramai yang ada kemahiran seperti melukis, menjahit mereka boleh jual di platform terbuka dan raih pendapatan tinggi,” katanya.

Dr Mohammad Fahmi turut menyeru orang ramai keluar mengundi pada 12 Ogos ini sekali gus membantunya merealisasikan ‘Smarter Seri Setia’.

“Saya tahu orang Seri Setia semua bijak pandai dan sudah tentu mereka mahukan wakil rakyat yang bijak pandai juga untuk mentadbir kawasan ini.

“Malah, berdasarkan pengalaman sebelum ini semua ADN (ahli dewan negeri) di sini pun daripada golongan bijak pandai dan rajin bekerja, jadi saya merayu undian anda dan kita bersama merealisasikan ‘Smarter Seri Setia’,” katanya.

Menurutnya, penduduk di Selangor juga bakal menerima banyak manfaat sekiranya memastikan kemenangan beepihak kepada Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Menangnya HARAPAN di Selangor, kita bakal wujud kerajaan perpaduan sama seperti persekutuan sekali gus segala urusan seperti permohonan dana juga menjadi lebih mudah,” katanya.

Mengulas berhubung ‘mood’ penduduk sepanjang hampir dua minggu berkempen, beliau berkata secara kasarnya sokongan penduduk amat baik dan menyatakan akan bersama dengan HARAPAN.

“Insya-Allah sebagai anak jati Seri Setia, saya tekad mahu teruskan komitmen menjaga dan membangunkan kawasan ini sebaiknya,” katanya.

Dr Mohammad Fahmi yang mewakili HARAPAN bakal bersaingan dengan calon Perikatan Nasional, Bebas dan Muda dalam PRN 12 Ogos ini.


Pengarang :