Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bergambar bersama peserta Program serahan Jalur Gemilang dan ziarah merdeka MAIS di lobi Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 28 ogos 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MAIS bawa 50 peserta ziarah pusat dialisis, rumah perlindungan wanita, mualaf sempena merdeka

Oleh AMIRUL FAZLI

SHAH ALAM, 28 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengadakan program Ziarah Merdeka, semalam bagi mengajak masyarakat melihat program pembangunan kebajikan dan sosial yang dilaksanakan MAIS dan agensi di bawahnya sekitar Shah Alam.

Program yang diketuai Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar membawa 50 peserta membabitkan jabatan, agensi dan anak syarikat bawah MAIS selain media, rakan blogger dan pertubuhan Islam bukan kerajaan.

“Delegasi dibawa melawat ke Pusat Dialisis MAIS, Rumah Puteri Arafiah dan Rumah Perlindungan Muallaf Baitul Salam dengan setiap lokasi lawatan diadakan taklimat, lawatan sekitar bagi melihat prasarana yang disediakan dan penyerahan bendera sempena Hari Kebangsaan,” menurut MAIS di Facebook.

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr Ahmad Shahir Makhtar (kanan) menyerahkan cenderahati kepada pesakit di Pusat dialisis MAIS Seksyen 3 Shah Alam ketika Program serahan Jalur Gemilang dan Ziarah Merdeka MAIS pada 28 ogos 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Semalam, MAIS turut mengedarkan sebanyak 3,010 bendera Jalur Gemilang kepada semua jabatan, agensi dan anak syarikatnya bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik dan menghayati erti kemerdekaan dalam kalangan warga kerjanya dan masyarakat.

Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 peringkat negeri Selangor tahun ini bertemakan “Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” akan diadakan pada 30 Ogos 2023 bertempat dataran kemerdekaan, Shah Alam.

Acara yang dijadual bermula pada 4.45 petang sehingga 12.00 tengah malam menyajikan pelbagai aktiviti menarik antaranya termasuklah persembahan kebudayaan, perarakan dan pembarisan serta persembahan artis jemputan.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bersama wakil jabatan dan agensi bawah MAIS mengibarkan Jalur Gemilang ketika Program serahan Jalur Gemilang dan ziarah merdeka MAIS di lobi Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 28 Ogos 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :