Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengadakan lawatan mengejut ke beberapa kaunter perkhidmatan agensi negeri di daerah Klang pada 24 Ogos 2023. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB buat lawatan mengejut selepas bentuk pentadbiran penggal kedua

SHAH ALAM, 24 OGOS: Dato’ Seri Amirudin Shari mengadakan lawatan mengejut ke beberapa kaunter perkhidmatan agensi negeri di daerah Klang, tiga hari selepas mengangkat sumpah jawatan Dato’ Menteri Besar.

Amirudin yang kembali memimpin negeri untuk penggal kedua berkata tinjauan itu dilakukan bagi melihat sendiri keberkesanan sistem di peringkat bawah sebelum sebarang tindakan menambah baik diambil.

Antara kaunter yang dilawatnya termasuklah Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Majlis Perbandaran Klang (MPK) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PTD) Klang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bertanya khabar kepada petugas kaunter perkhidmatan ketika membuat lawatan mengejut di beberapa agensi negeri di daerah Klang pada 24 Ogos 2023. Foto Facebook Amirudin Shari

“Alhamdulillah setakat ini saya lihat pengurusan yang baik di PTGS melalui kaunter baharu selain penggunaan Smartbox yang dimanfaatkan oleh pengguna.

“Begitu juga di MPK dan PTD Klang yang prosesnya tersusun walaupun jumlah pengunjung ramai,” katanya menerusi Facebook.

Menurutnya, penggal ini pentadbirannya menumpukan sistem pendigitilan dalam perkhidmatan negeri demi memudahkan urusan rakyat.

Ia juga adalah sebahagian daripada inisiatif yang terkandung dalam manifesto Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad untuk Lima Tahun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat orang ramai menggunakan kemudahan Smartbox di Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) ketika membuat lawatan mengejut ke beberapa kaunter perkhidmatan agensi negeri di daerah Klang pada 24 Ogos 2023. Foto Facebook Amirudin Shari

Sebagai permulaan, portfolio baharu ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pentadbiran dan Digitalisasi Kerajaan yang disandang sendiri oleh Amirudin untuk menyokong dasar berkenaan.

“Saya mengalukan pandangan serta cadangan penambahbaikan berhubung perkhidmatan kaunter jabatan dan agensi. Ia boleh disampaikan secara terus kepada saya melalui [email protected].

“Saya usahakan setiap input, idea, cadangan mahupun kritikan dihalusi dan dapat ditangani secara holistik,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama barisan EXCO selepas sidang media khas sempena mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pertama di foyer bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di Shah Alam pada 23 Ogos 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Semalam Amirudin mengumumkan portfolio 11 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri termasuk dirinya untuk lima tahun akan datang dalam sidang media khas di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini.

Selain berperanan sebagai Menteri Besar, Amirudin Shari turut memegang lima portfolio antaranya pembangunan tanah dan sumber alam, kewangan dan tindakan ekonomi, pendidikan dan pembangunan modal insan.

Ahli Dewan Negeri Sungai Tua mengangkat sumpah jawatan Dato’ Menteri Besar buat penggal kedua di Istana Alam Shah, Klang pada 21 Ogos selepas Pakatan Harapan dan Barisan Nasional Selangor menang 34 daripada 56 kerusi, sekali gus kembali membentuk kerajaan pada 12 Ogos.


Pengarang :