SHAH ALAM, 23 OGOS: Dato’ Menteri Besar mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi penggal baharu pentadbiran Selangor hari ini.
Dato’ Seri Amirudin Shari tiba di aras 20 bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini kira-kira jam 10 pagi dan disambut 10 ahli MMKN baharu.
Dimulakan dengan bacaan doa, mesyuarat sulung MMKN diteruskan dengan sesi angkat sumpah watikah pelantikan dan kerahsiaan oleh kesemua ahli MMKN di hadapan Amirudin.
Dato’ Menteri Besar Selangor ke-16 dijangka mengumumkan portfolio kesemua ahli MMKN dalam satu sidang media khas, sejurus mesyuarat tamat kira-kira jam 12 tengahari.
Isnin lalu, Amirudin mengumumkan bekas speaker, Ng Suee Lim dan enam muka baharu dilantik sebagai EXCO, selain mengekalkan tiga ahli MMKN berpengalaman.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/08/67b88a6d-ebc9-48ca-ad5a-095a29cc53f4-500x315.jpg.webp)
Enam muka baharu itu ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Anfaal Saari, V Papparaidu (Banting) dan Dr Mohammad Fahmi Ngah (Seri Setia).
Turut dilantik, ADN Sungai Air Tawar dari Umno, Datuk Rizam Ismail, Najwan Halimi (Kota Anggerik) dan Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama).
EXCO yang berpengalaman penggal lalu dan dikekalkan ialah Ng Sze Han (Kinrara), Ir Izham Hashim (Pandan Indah) dan Borhan Aman Shah (Tanjong Sepat).
Sepuluh wakil rakyat itu mengangkat sumpah jawatan sebagai ahli MMKN di hadapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Istana Alam Shah, Klang.