Pengerusi Pakatan Harapan Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Grand Finale DUN Sungai Tua di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 11 Ogos 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB seru keluar undi esok, bentuk kerajaan perpaduan di Selangor

GOMBAK, 11 OGOS: Rakyat Selangor diseru menunaikan tanggungjawab mengundi esok bagi memastikan kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN).

Dato’ Menteri Besar yakin kerajaan perpaduan akan terbentuk di negeri itu bersandarkan kerja keras kedua-dua gabungan sebelum dan sepanjang kempen pilihan raya.

“Insya-Allah, saya lihat dari semasa ke semasa baik sebelum kempen bermula sampai ke detik beberapa jam sebelum (kempen) berakhir, saya yakin kerajaan perpaduan akan tertegak di Selangor.

“Hanya ada satu syarat, semua kena turun undi. Jangan datang ceramah sahaja tetapi tidak pergi mengundi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam ceramah Grand Finale di sini malam ini.

Dalam pada itu, calon Sungai Tua berharap pengundi kawasan itu memberikannya peluang sekali lagi untuk terus berkhidmat bagi meneruskan kesinambungan pembangunan yang dimulakan sejak 2008.

Beliau juga tekad untuk terus menyantuni masyarakat, selain menyelesaikan isu infrastruktur seperti baik pulih padang bola sepak dan pembinaan stadium mini di Taman Batu Caves.

“Undi nombor tiga untuk (HARAPAN) kekal lima tahun di Sungai Tua,”  kata pengerusi HARAPAN Selangor disambut sorakan dan laungan ‘Kekal Lima Tahun’ oleh penyokong.


Pengarang :