Calon DUN Sungai Tua Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman bersama peserta program KEMAS Dan perasmian Pertandingan Sepak Penalti di Padang Awam Wira Damai, Gombak pada 30 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB yakin punyai kelebihan, namun tidak pandang mudah potensi lawan

SEPANG, 2 OGOS: Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua yakin mempunyai kelebihan dan sokongan dalam pilihan raya negeri (PRN) dengan mempertaruh rekod 15 tahun berbakti di kawasan itu.

Namun, Dato’ Seri Amirudn Shari yang juga pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor menyifatkan ia bukanlah tiket untuk beliau ‘terlalu selesa’ dan mengambil mudah potensi lawannya.

“Kempen terus berjalan. Dalam tempoh 15 tahun mungkin saya ada sedikit kelebihan kerana orang agak kenal saya di sana. Tetapi kalangan pengundi muda, mereka mungkin tidak menyedari situasi sekeliling.

“Justeru, kerja kempen masih diteruskan dan saya yakin masih dapat sokongan. Cuma kita tidak ambil mudah atau rasa begitu selesa,” katanya selepas menyerahkan hak milik individu Taman Putra Perdana (Plot J) di sini, semalam.

Pada PRN kali ini, kerusi Sungai Tua menyaksikan saingan tiga penjuru antara Amirudin menentang calon Perikatan Nasional (PN) Muhammad Hanif Jamaluddin dan Bebas Suman Gopal pada PRN.

Amirudin yang juga ahli Parlimen Gombak menyandang kerusi itu (sebelum ini dikenali sebagai DUN Batu Caves) sejak 2008 dan terus kekal untuk tiga penggal berturut-turut hingga pilihan raya umum ke-14.


Pengarang :