OLEH ABDUL RAHIM SABRI
SHAH ALAM, 25 OGOS: Kakitangan Media Selangor Sdn Bhd (Media Selangor) mengadakan sambutan Bulan Kebangsaan di pejabatnya di tingkat 11 Menara Bank Rakyat di sini hari ini.
Dalam ucapannya, ketua pegawai eksekutifnya mengajak kakitangan supaya mencontohi sikap Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang keluar dari zon selesa.
Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree menjelaskan Tunku yang berasal dari keturunan raja tidak memilih untuk menikmati hidup mewah sebaliknya memimpin usaha menuntut kemerdekaan negara.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/08/8-2-500x303.jpg.webp)
“Setiap hari kita mesti cabar diri, adakah hari ini lebih bagus daripada semalam? Kita tidak boleh capai kejayaan atau merdeka kalau kita tidak keluar dari zon selesa,” katanya.
Justeru, beliau menyeru kakitangan membaiki prestasi sedia ada dan mengambil iktibar dari sejarah kemerdekaan itu dengan memperbanyak pembacaan bagi melonjakkan pencapaian sedia ada.
“Kita harus cari masa untuk membaca. Luangkan masa dan menambah ilmu pengetahuan,” katanya.
Selain jamuan dan segmen imbauan sejarah pembentukan negara, kakitangan turut mengibar Jalur Gemilang sambil menyanyikan lagu patriotik termasuk Malaysia Madani dan Tanggal 31 Ogos.
Rakaman pendek penerangan logo dan tema Bulan Kebangsaan juga dibuat. Beberapa permainan juga dijalankan antaranya teka silang kata perdana menteri, dadu 14 negeri dan nasi lemak Rukun Negara.