Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Dr Ani Ahmad berucap pada Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Yang Dipertua MPAJ Ke-9 di Menara MPAJ pada 8 Mei 2023. Foto Majlis Perbandaran Ampang Jaya
PBTSELANGOR

MPAJ kompaun 37 restoran tidak pakai pelitup muka

OLEH AZIAN AZIZ

AMPANG JAYA, 29 OGOS: Sebanyak 37 restoran dikenakan kompaun RM1,000 oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) atas kesalahan tidak memakai pelitup muka bagi tempoh 1 Julai hingga 25 Ogos lalu.

Yang Dipertuanya Dr. Ani Ahmad berkata dalam tempoh sama, 106 premis perniagaan turut dikompaun kerana tidak menyerahkan hasil jualan beg plastik dan tidak mengisytiharkan penggunaan di premis.

“Penguatkuasaan bagi kedua-dua kesalahan dibuat ke atas kesemua premis terlibat kerana pelanggaran syarat lesen (4) (4) C Undang-Undang Kecil MPAJ 2007,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini mengumumkan penggunaan pelitup muka diwajibkan kepada pengendali makanan  negeri ini bagi mengelak penularan Covid-19 dan isu keracunan makanan.

MPAJ pula mengumumkan pengendali makanan di kawasan pentadbirannya berdepan kompaun RM1,000 jika ingkar arahan pemakaian pelitup muka mulai 1 Julai selepas enam bulan tempoh pemantauan bermula 1 Januari lalu.

Peniaga di Selangor juga tidak menyediakan beg plastik percuma kepada pelanggan bermula Januari 2017.

Dalam pada itu Dr. Ani memaklumkan sejumlah RM56.1 juta cukai taksiran dan RM11.7 juta tunggakan cukai tersebut dikutip MPAJ sejak 1 Januari hingga 31 Julai lalu.

“Kutipan semasa cukai taksiran menunjukkan peningkatan sebanyak RM0.85 juta atau 1.54 peratus manakala kutipan tunggakan cukai menurun RM5.43 juta atau 46.17 peratus berbanding tahun lalu.

“MPAJ akan meneruskan kempen Jom Bayar Cukai Taksiran 2023 dan promosi cabutan bertuah3 selain melaksanakan operasi sitaan cukai taksiran untuk pembayar cukai yang masih belum melunaskan bayaran,” tambahnya.


Pengarang :