Jabatan Kesihatan Persekitaran Majlis Perbandaran Kuala Selangor dengan kerjasama polis menjalankan operasi menangkap haiwan ternakan sekitar Jeram dan Bestari Jaya pada 23 Ogos 2023. Foto Facebook Majlis Perbandaran Kuala Selangor
PBTSELANGOR

MPKS tangkap tujuh haiwan ternakan terbiar, pastikan keselamatan awam terjamin

SHAH ALAM, 25 OGOS: Sebanyak enam lembu dan seekor kambing yang berkeliaran sekitar Jeram dan Bestari Jaya sehingga menganggu ketenteraman awam ditangkap dalam operasi bersepadu kelmarin.

Menurut Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), tindakan itu diambil bagi memastikan keselamatan semua pihak terutama pengguna jalan raya terjamin.

“Operasi ini dijalankan berikutan aduan orang ramai mengenai kacau ganggu bau dan haiwan ternakan berkeliaran di kawasan awam selain bagi menjaga keselamatan semua pihak terutama pengguna jalan raya.

“Justeru, kami terpaksa mengambil tindakan dan semua tangkapan ini akan dibawa ke pusat kurungan haiwan MPKS untuk tindakan lanjut ,” katanya menerusi Facebook.

MPKS memaklumkan haiwan yang ditangkap itu akan diletakkan di tempat kurungan khas haiwan atas risiko pemunya atau penjaga sehingga belanja bagi jenis kos sitaan dan jagaan yang ditetapkan MPKS dilangsaikan.

Menurutnya, pemunya atau penjaga boleh menuntut kembali haiwan itu mengikut Seksyen 4(4) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971.

Seksyen 13 Enakmen yang sama memberikan kuasa kepada MPKS untuk menjalankan pendakwaan di mahkamah ke atas mana-mana pemunya, penjaga kerana melanggar peruntukan di dalam enakmen tersebut.

Masyarakat disarankan untuk menyalurkan aduan berkaitan perkhidmatan MPKS secara dalam talian di https://mpks.spab.gov.my atau hubungi 03-3289 1439.


Pengarang :