Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Berangan Enam, Kamaruzaman Md Yasin (kanan) dan Guru Besar sekolah Nurulhuda Ahmad (kiri) turut bersama berarak di sekitar kampung sempena program Kembara Merdeka bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan yang bakal menjelang di sekitar Berangan Enam Umbai di sini pada 23 Ogos 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Murid SRA berarak keliling kampung, semarakkan Bulan Kebangsaan

JASIN, 23 OGOS: Bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, seramai 178 murid Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Berangan Enam hari ini berarak mengelilingi kampung sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Guru Besar SRA JAIM Berangan Enam Nurulhuda Ahmad berkata program Kembara Merdeka dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu turut disertai lebih 30 ibu bapa murid.

“Sambutan seumpama ini diadakan setiap tahun cuma kali ini kita membuat kelainan dengan berarak kira-kira dua kilometer sekitar Kampung Berangan Enam sambil menyanyikan lagu patriotik dan murid memakai pakaian berwarna Jalur Gemilang.

“Apa yang lebih penting program ini bertujuan menyuburkan perasaan cintakan negara dalam kalangan masyarakat sekali gus menyemarakkan kibaran Jalur Gemilang,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain berarak, murid SRA JAIM Berangan Enam turut berpeluang menyaksikan persembahan silat di Persatuan Seni Silat Gerak Tepat Melaka.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SRA JAIM Berangan Enam Kamaruzaman Md Yasin berkata program itu dapat menyemai semangat patriotik dalam kalangan generasi muda.

Beliau berkata dalam meraikan hari kemerdekaan negara, penting untuk murid diberi kesedaran bagi menghargai keamanan yang dikecapi selama ini.

“Kali ini kita bawa anak-anak kecil ini (murid) menyaksikan persembahan silat bagi menanam jati diri mereka,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :