Pelajar dari tiga sekolah sekitar Sepang yang menyertai program libat urus bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor). Foto Facebook Air Selangor pada 26 Ogos 2023
AGENSISELANGOR

Murid usia 10 hingga 12 tahun didedah kepentingan pulihara sumber air

SHAH ALAM, 27 OGOS: Lebih 360 pelajar sekolah sekitar Sepang didedahkan kepentingan memulihara sumber air dalam sesi libat urus anjuran Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) baru-baru ini.

Agensi memaklumkan demonstrasi penilaian kualiti air turut ditunjukkan kepada pelajar berusia antara 10 hingga 12 tahun dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sepang, SJKC Wah Lian dan Sekolah Kebangsaan Sungai Pelek.

“Kami juga berkongsi tips yang praktikal memulihara air sepanjang program serta kepentingan air sebagai sumber yang berharga dalam rutin harian dan bagaimana amalan pemuliharaan air boleh menjamin bekalan air mampan untuk semua.

“Di samping itu, kami menjalankan aktiviti menarik seperti kuiz, teka-teki serta pertandingan mewarna Boboiboy Air bagi menarik minat pelajar menyertai program tersebut,” menurut kenyataan di Twitter.

Air Selangor juga berhasrat mengadakan lebih banyak program libat urus bersama anak muda pada masa depan sebagai usaha memupuk amalan pemuliharaan air.

“Jika anda berminat untuk bekerjasama dengan Air Selangor bagi program libat urus atau mana-mana aktiviti pemuliharaan air, sila hantarkan emel kepada Unit Pemuliharaan Air, Air Selangor di [email protected],” katanya.


Pengarang :