Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin bin Shari (tengah) bergambar bersama sebahagian penerima hak milik kediaman di Majlis Penyerahan Hak Milik Individu Taman Putra Perdana (Plot J) di Dewan Komuniti Putra Perdana pada 1 Ogos 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri bantu 601 pemilik kediaman Taman Putra Perdana terima hak milik

SEPANG, 1 OGOS: Sebanyak 601 pemilik kediaman di Taman Putra Perdana di sini menerima hak milik individu hartanah masing-masing hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mereka adalah sebahagian daripada kira-kira 9,000 pemilik yang menunggu mendapatkan hak milik individu yang tertangguh sejak kira-kira 15 tahun dahulu.

“Ini adalah perkara yang tertangguh lebih 10 hingga 15 tahun lepas. Alhamdulillah kita telah menemui formula dan berjaya membantu selesaikan hal ini satu persatu.

“Sebenarnya hal ini boleh dipercepatkan tapi kerana pandemik hal ini tertangguh. Secara keseluruhannya akan berlangsung secara berperingkat dengan keseluruhannya kira-kira 9,000 pemilik,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan hak milik individu Taman Putra Perdana (Plot J) di sini, hari ini.

Amirudin berkata beliau menjangkakan keseluruhan kira-kira 9,000 pemilik akan menerima hak milik individu kediaman masing-masing selewat-lewatnya awal tahun depan.

“Plot J diselesaikan terlebih dahulu kerana kompleksiti penyelesaian lebih mudah diselesaikan terlebih dahulu.

“Plot-plot yang lain masih dalam tindakan penyelesaian secara berperingkat mengikut kompleksiti yang terdapat di atas tanah dan kepentingan berdaftar di dalam dokumen hak milik.

“Saya harap menjelang hujung tahun ini atau awal tahun depan semuanya (penyerahan hak milik) akan selesai,” katanya.

Sebelum ini Amirudin berkata isu hak milik tanah di kawasan itu muncul sebelum 2008 dan Kerajaan Negeri berusaha mencari penyelesaiannya bagi membantu pemilik yang terlibat.


Pengarang :