Pemain Harimau Malaya meraikan kejayaan layak bertanding Piala Asia selepas menewaskan Bangladesh 4-1 dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Oman, Arab Saudi uji kekuatan Harimau Malaya

SHAH ALAM, 5 OGOS: Di sebalik undian dalam kumpulan sama pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, Oman dijangka menjadi lawan terakhir skuad Harimau Malaya sebelum memulakan kempen Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.

Perkembangan itu disahkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dengan memaklumkan aksi menentang Oman di sana akan diadakan selepas skuad bimbingan Kim Pan Gon bertemu Arab Saudi di Doha, Qatar.

“Pasukan negara memang pasti akan bertemu Arab Saudi di Doha pada 3 Jan, selepas itu akan terbang ke Oman. Sama ada kita satu kumpulan atau tidak, saya berpendapat ini bagus kerana ia dimainkan secara tertutup. Ini masa untuk Pan Gon melihat semula pasukan, tukar taktikal ataupun buat penambahbaikan.

“Dalam bola sepak moden, setiap pasukan boleh lihat pasukan lawan melalui pelbagai cara sama ada menerusi video dan sebagainya, jadi apa yang penting adalah persiapan kita,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Liga Wanita Nasional (LWN) 2023 di Stadium UiTM di sini, hari ini.

Pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 yang akan bermula November ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Oman, Kyrgyzstan dan pemenang aksi playoff antara Taiwan dan Timor Leste.

Bagi aksi bertemu Oman, Malaysia terlebih dahulu dijadual bertandang ke Oman pada 21 Mac tahun depan, sebelum melayani kunjungan mereka di Stadium Nasional, Bukit Jalil lima hari kemudian.

Pada kempen Piala Asia 2023 bermula 12 Jan sehingga 10 Feb pula, Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama juara dua kali Korea Selatan, Jordan dan Lubnan.

Sementara itu, mengulas mengenai nasib pemain sayap sensasi Selangor FC yang juga tonggak skuad Harimau Malaya, Mohamad Faisal Abdul Halim yang digantung sebulan, Hamidin berkata sama ada beliau dipanggil ataupun tidak untuk aksi persahabatan bulan depan, bergantung kepada keputusan Pan Gon.

Peluang Mohamad Faisal disenaraikan bagi aksi berdepan Syria dan China di Chengdu, China kini menjadi tanda tanya apabila terlepas bermain secara kompetitif dalam kancah domestik sepanjang bulan ini susulan hukuman penggantungan yang dikenakan FAM.

— BERNAMA

 


Pengarang :