AGENDAJENAYAH

Padah culik wanita warga asing, dua lelaki ditahan polis

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Tindakan dua lelaki tempatan menculik wanita warga asing bagi tujuan mendapatkan wang tebusan gagal selepas mereka ditahan dalam operasi di Klang, Selangor, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP AA Anbalagan berkata kedua-dua lelaki berusia 31 dan 35 tahun itu ditahan 1.30 tengah hari di sekitar kawasan Klang susulan laporan polis yang dibuat seorang wanita di Puchong yang memberitahu dua rakannya diculik lelaki tempatan ketika keluar berhibur.

Beliau berkata pengadu telah menerima gambar menerusi aplikasi WeChat pada 10 Ogos lalu yang menunjukkan dua rakannya telah diikat dan ditutup mata selain dia diminta untuk membayar wang tebusan RM20,000 bagi membebaskan mereka.

“Siasatan awal mendapati wanita berkenaan mengenali suspek ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di Lembah Klang dan pernah mengambil nombor telefon suspek untuk simpanan.

“Susulan itu polis melakukan operasi di sekitar Klang pada Jumaat lalu dan berjaya menahan dua suspek berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Anbalagan berkata kedua-dua suspek yang menganggur dan berasal dari Selangor itu masing-masing mempunyai dua dan tiga rekod jenayah.

Beliau berkata kedua-dua suspek juga mengaku telah membuat kegiatan sedemikian beberapa kali selain turut dikehendaki polis daerah lain di Lembah Klang.

Katanya siasatan ke atas suspek yang direman sejak 11 Ogos hingga hari ini dilakukan di bawah Seksyen 365/385 Kanun Keseksaan kerana menculik.

– BERNAMA


Pengarang :