Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri atau Pak Ya bertekad menjadi suara golongan pesawah pada sidang media di pusat gerakan HARAPAN di Tanjung Karang pada 31 Julai 2023. Foto NAJAMUDDIN MOHD NOR/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pak Ya mahu wujudkan Permatang Zon Mesra Halal

TANJUNG KARANG, 5 OGOS: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang berhasrat menjadikan kawasan itu sebagai zon mesra halal bagi merancakkan ekonomi setempat.

Mohd Yahya Sahri, 54, berkata program Permatang Zon Mesra Halal merupakan kesinambungan daripada aktiviti pertanian yang rancak dijalankan penduduk di DUN berkenaan.

“Aktiviti utama di sini adalah pertanian. Sebahagian besar penduduk giat menanam padi, ladang sawit dan juga tanaman kontan, selain penternakan serta perikanan.

“Saya bertekad untuk mengekalkan identiti Permatang sebagai kawasan yang menghasilkan ekonomi halal tani serta bebas daripada kegiatan yang bercanggah dengan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Media Pilihan Raya DUN Permatang di sini semalam. Turut hadir Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Halal Malaysia, Dr Helmi Ibrahim.

Mohd Yahya atau lebih mesra dipanggil Pak Ya berkata, Permatang Zon Mesra Halal akan merangkumi tiga inisiatif iaitu bakul makanan Selangor, projek ladang halal, dan pelancongan halal.

Menurutnya, ia selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang ingin memperkasa industri halal di peringkat global, susulan peningkatan permintaan daripada pengguna Islam di seluruh dunia.

“Selangor sahaja yang ada portfolio industri halal dalam pentadbirannya. Ini membuktikan kesungguhan kita untuk memartabat sektor halal ke peringkat antabangsa,” katanya.


Pengarang :