Oleh Fhatihah Zakinan
SHAH ALAM, 1 OGOS: Selangor komited menghulur bantuan kepada anak Selangor dengan menyediakan pelbagai inisiatif dalam pembangunan pendidikan sejak 2018.
Ketua Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata ruang untuk berjaya dengan bantuan sektor itu amat luas.
“Walaupun mereka tidak lahir di Selangor tetapi pemastautin di Selangor mungkin lebih lima tahun, layak menerima program (pendidikan) tertentu.
“Mungkin ada program yang mereka tak layak kerana satu sekolah (sahaja), ia hanya memerlukan ibu bapa mereka bermastautin atau bekerja di Selangor, itu sudah cukup,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.
Beliau berkata demikian dalam program temu bual langsung Astro Awani Pagi tajuk Inisiatif Selangor Bangunkan Pendidikan semalam.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/08/Screenshot_2023-07-31-09-48-54-95_a23b203fd3aafc6dcb84e438dda678b6-500x282.jpg.webp)
Ahmad Azri menambah rakyat Selangor bertuah kerana memiliki satu-satunya Menteri Besar yang menyandang portfolio pendidikan negeri.
“Negeri lain tidak ada. Menteri Besar yang berani pegang portfolio pendidikan hanya di Selangor,” katanya.
Jawatankuasa pendidikan negeri merangkumi MBI, Yayasan Selangor (YS), unit perancang ekonomi negeri (UPEN) dan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Selangor (Stanco).
Sebelum ini, Ahmad Azri berkata sebahagian besar perbelanjaan MBI digunakan untuk pembangunan pendidikan negeri menerusi Iltizam Selangor Penyayang (ISP) dengan peruntukan sekitar RM20 juta sejak 2018.
Menurut beliau program dijalankan meliputi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), Bantuan Asas Yuran Universiti dan Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi.