SUBANG JAYA, 23 OGOS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menggalakkan penduduk dan peniaga mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman dan premis masing-masing sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-66.
Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha menyemarakkan bulan kemerdekaan dan menanam rasa cintakan negara.
“Penduduk termasuk peniaga disaran kibarkan Jalur Gemilang supaya menaikkan semangat patriotik, ahli majlis dan jabatan kerajaan juga perlu berbuat demikian di kawasan masing-masing.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/08/1200_M8-500x358.jpg.webp)
“Cuma diingatkan jangan pasang Jalur Gemilang secara terbalik, lusuh dan koyak. Ini kerana kita dapati ada segelintir termasuk jabatan kerajaan memasang bendera koyak,” katanya pada Mesyuarat Penuh MBSJ Bil 8/2023 di sini semalam.
Sementara itu, berhubung bendera parti sempena pilihan raya negeri baru-baru ini, beliau memaklumkan hampir 90 peratus bahan kempen telah diturunkan.
“Keseluruhannya hampir semua telah diturunkan, cuma ada satu dua sahaja yang masih belum dilakukan. Pasukan penguat kuasa telah ambil tindakan menghubungi parti berkenaan supaya menurunkannya dengan segera.
“Jika gagal berbuat demikian, kita tidak akan menyerahkan semula wang cagaran kepada parti tersebut,” katanya.