Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Penyerahan Geran Hak Milik di Bandar Sungai Buaya, Hulu Selangor pada 2 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Penduduk syukur dapat geran, yakin nilai hartanah Sungai Buaya naik

Oleh DIANA ABD WAHAB

HULU SELANGOR, 2 OGOS: Pemilik rumah di Bandar Sungai Buaya dekat sini menzahirkan kesyukuran apabila menerima surat hak milik individu kediaman masing-masing selepas 24 tahun menanti.

Pengerusi gabungan banda bukan kerajaan (NGO) Bandar Sungai Buaya berkata perjuangan mereka mendapatkan geran hak milik melibatkan 3,500 rumah yang sekian lama tertunda bukan perkara mudah.

Dato’ Ruslee Hashim yang menetap lebih 20 tahun di situ berkata sepanjang tempoh itu pihaknya bersama 16 NGO mengumpulkan pemilik rumah sejak tiga tahun lalu dengan mengadakan lebih lima pertemuan bagi mendapat persetujuan menyelesaikan isu tersebut.

Dato’ Ruslee Hashim

“Usaha yang dilaksanakan dengan kerjasama pemilik tanah Sungai Buaya Murna Jaya Development Berhad (MJD Berhad) pada mulanya tidak mendapat sambutan namun selepas beberapa kali meyakinkan mereka, pemilik akhirnya bersetuju.

“Saya bersyukur kerana sebelum ini kami sebagai pemilik terbeban kerana ada rumah tapi tak ada geran. Kami tak boleh pindah milik serah rumah pada anak-anak atau lakukan jual beli memandangkan pihak bank tidak terima urusan tanpa geran.

“Hari ini bila kami dapat geran daripada Kerajaan Negeri, urusan jual beli atau pindah milik rumah mudah berbanding dulu kerana sudah miliki geran hak milik individu,” katanya.

Datuk Azizan Zakaria

Beliau salah seorang daripada 730 individu yang menerima geran hak milik individu kediaman Bandar Sungai Buaya yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di pejabat MJD Berhad di sini hari ini.

Sementara itu, Datuk Azizan Zakaria yang menerima dua geran gembira kerana kini beliau boleh memindah milik kediaman kepada anak-anaknya.

“Malah dengan penyerahan surat kelulusan hak milik individu ini saya percaya nilai hartanah di kawasan ini akan meningkat.

“Sebelum ini harga rumah di sini hanya RM100,000 kini nilainya lebih RM600,000 manakala sewa rumah dulu hanya RM700 sebulan namun ia meningkat sehingga lebih RM1,000. Kita dapat lihat kerancakan pembangunan ekonomi di kawasan ini,” katanya.


Pengarang :