Calon Tanjong Sepat Borhan Aman Shah (berdiri, tengah) menyertai program senamrobik dan sukaneka bersama rakyat di Dataran Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 5 Ogos 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pengundi yakin Borhan kekal wakil rakyat, prestasi cemerlang sejak 2018

KUALA LANGAT, 6 OGOS: Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Sepat yakin penyandang kerusi itu akan menang dalam pilihan raya negeri kali ini berdasarkan prestasi cemerlang menyantuni penduduk sejak 2018.

Noraizah Mohd Darus, 40, berkata selain anak tempatan, sikap Borhan Aman Shah yang sentiasa prihatin dengan kebajikan penduduk membuatkan beliau wajar dikekalkan di kerusi itu.

“Sebelum ini saya ada mohon bantuan komputer riba untuk kegunaan anak di universiti. Alhamdulillah diluluskan dalam masa sangat singkat.

“Dalam keadaan ekonomi serba mencabar ini bukan semua mampu beli komputer riba, bila pejabat YB Borhan luluskan saya bersyukur sangat,” katanya,

Selain itu, Siti Suraya Saleh, 38, berkata perwatakan Borhan yang mesra, mudah didekati dan cakna dengan keperluan penduduk setempat menjadikannya sangat disenangi.

“Beliau juga pemimpin yang ada idea dan sering fikirkan keperluan rakyat contohnya wujudkan khidmat ambulans DUN Tanjong Sepat yang banyak membantu penduduk berulang alik ke hospital.

“Beliau juga aktif menyertai aktiviti kemasyrakatan di sini. Sudah pasti kami mahu beliau terus kekal sebagai wakil rakyat di sini,” katanya.

Pada pilihan raya umum lalu, Borhan memenangi kerusi DUN Tanjong Sepat dengan majoriti 9,828 undi menewaskan Karim Mansor (Barisan Nasional) dan Mohd Haslin Hassan (PAS).

Dalam pilihan raya negeri 12 Ogos ini kerusi DUN Tanjong Sepat menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Borhan mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Sabirin Marsono (Perikatan Nasional).

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) DUN Tanjung Sepat Borhan Aman Shah (tengah) diiringi oleh penyokongnya berarak memasuki Pusat Penamaan Calon di Dewan Komuniti Pantai Putra, Sepang pada 29 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :