Unit Forensik Polis Diraja Malaysia melakukan siasatan di lokasi kejadian pesawat terhempas di Elmina Shah Alam pada 17 Ogos 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Perakam suara kokpit dihantar ke AS untuk dapatkan semula data rakaman

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Kotak perakam suara kokpit (CVR) milik pesawat yang terhempas berdekatan Lebuh Raya Guthrie Bandar Elmina, Shah Alam, Khamis lepas akan dihantar ke pengilangnya di Florida, Amerika Syarikat bagi mendapatkan semula data rakaman suara 30 minit terakhir sebelum nahas untuk dianalisis.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata CVR itu telah dihantar ke sebuah makmal di Singapura pada Sabtu lepas namun menghadapi beberapa isu teknikal dan kekangan yang menghalang rakaman suara diperoleh semula.

“Ketua Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) akan balik semula ke Kuala Lumpur pada petang ini dan dia akan memberikan penjelasan kepada saya… kita akan cuba secepat mungkin, sama ada petang ini atau esok pagi, saya akan hantar mereka ke sana (Amerika Syarikat).

“… untuk menjawab persoalan apa yang berlaku kita terpaksa mendapatkan bantuan daripada pihak-pihak luar dan keutamaan saya adalah untuk memberikan jawapan kepada keluarga mangsa dan orang ramai secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Seminar Keselamatan Penerbangan Malaysia 2023 di sini hari ini.

Semalam, Loke dilaporkan berkata BSKU Malaysia berdepan kesukaran untuk mendapatkan data rakaman berkenaan kerana CVR yang mengandungi ‘memory puck’ berada dalam keadaan tidak sempurna dan hangus.

Menurutnya laporan penuh insiden nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu boleh mengambil masa hingga setahun untuk disiapkan namun berdasarkan garis panduan antarabangsa laporan awal akan dikeluarkan dalam masa sebulan daripada tarikh insiden berkenaan.

Menjawab persoalan mengenai peranan Kementerian Pengangkutan dalam nahas tersebut, beliau berkata apabila berlaku kemalangan udara tugas siasatan tersebut bukan terletak kepada polis atau Kementerian Dalam Negeri tetapi ia merupakan skop kerja BSKU.

“Ini bukan soal menyibuk, ini soal tanggungjawab nyawa manusia, keselamatan. Saya nak bagi tahu bahawa tugas hakiki apabila berlaku kemalangan udara terletak kepada BSKU dan dia lapor terus kepada Menteri Pengangkutan… itu dalam struktur pentadbiran penerbangan kita apabila berlakunya kemalangan udara,” katanya.

Mengenai seminar itu, beliau berharap ia dapat memberikan beberapa cadangan berkenaan keselamatan udara kepada kerajaan.

“Kita harap mereka dapat berkongsi idea, dan menghasilkan satu atau dua resolusi yang boleh diterima pakai untuk digunakan tetapi standard keselamatan mesti berpandukan standard Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO),” katanya.

Dalam kejadian Khamis lepas, pesawat itu terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina mengorbankan 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun.

Mangsa yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam, masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta, yang menggunakan lebuh raya berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :