Seekor harimau jantan yang diberi nama Sungkai diberi makanan ketika tinjauan Bernama di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) baru-baru ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Perhilitan pasang kamera perangkap kesan harimau belang di Batang Kali

SHAH ALAM, 27 OGOS: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memasang kamera perangkap bagi mengesan harimau belang di Kilometer 18 Jalan Batang Kali-Genting Highlands.

Pengarah Perhilitan Selangor berkata langkah itu susulan laporan seorang anggota polis bantuan yang mendakwa melihat haiwan liar berkenaan pada jam 5.30 pagi semasa dalam perjalanan ke tempat kerja, lapor Harian Metro.

Menurut Dennis Ten Choon Yung, pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Gohtong Jaya berhubung kejadian itu jam 8.14 pagi hari ini.

“Kakitangan kami kemudian tiba di lokasi dan melakukan pemeriksaan awal.

“Siasatan mendapati kesan kehadiran harimau tidak dapat dikenal pasti kerana faktor muka bumi yang padat dan daun-daun pokok tebal daripada jenis Akasia,” katanya.

Manakala Ketua Polis Daerah Hulu Selangor berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Jabatan Perhilitan daerah Hulu Selangor untuk mengesan harimau belang itu.

“Orang ramai diingatkan agar berhati-hati semasa melakukan sebarang aktiviti di kawasan itu,” kata Superintendan Ahmad Faizal Tahrim.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan harimau belang itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-6064 1222.


Pengarang :