Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berjumpa penyokong selepas pengumuman calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di luar Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak pada 29 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Perjuang isu setempat, penduduk mahu kekalkan Amirudin di Sungai Tua

GOMBAK, 2 OGOS: Penduduk Kampung Nakhoda di sini mahu mengekalkan Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua berikutan kesungguhannya memperjuang isu setempat.

Mohd Zulshazuan Awang, 39, berkata isu milikan tanah antara usaha dan pencapaian terbesar yang berjaya diselesaikan Dato’ Menteri Besar untuk membantu penduduk.

Mohd Zulshazuan Awang

“Beliau pernah umum khabar gembira untuk kami berkaitan isu tanah. Jika ada orang lain tukar sebagai wakil rakyat, siapa lagi nak pejuangkan masalah kami?,” katanya ditemui baru-baru ini.

Seorang lagi penduduk Zulkifli Ngah Ahmad, 68, masih ingat pemberian peti ais oleh Amirudin kira-kira setahun lalu untuk memudahkannya berniaga secara kecil-kecilan.

“Berguna sungguh (pemberian peti ais). Beliau pun selalu datang ke kedai dan bertegur sapa, macam sudah biasa. Pada saya, wajar kekalkan beliau sebagai wakil rakyat dan MB (menteri besar).

Zulkifli Ngah Ahmad

“Perwatakannya juga mesra rakyat, mudah kita hendak beritahu masalah,” katanya.

Dalam pilihan raya negeri pada 12 Ogos, Amirudin yang juga pengerusi Pakatan Harapan Selangor sekali lagi mempertahan kerusi DUN Sungai Tua dengan berdepan saingan tiga penjuru.

Selain calon Perikatan Nasional Muhammad Hanif Jamaluddin, seorang lagi pencabar adalah Suman Gopal yang bertanding atas tiket Bebas.


Pengarang :