EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah bersama pengunjung melihat proses penghasilan Batik Selangor pada program Kenduri dan Rewang Sekampung DUN Tanjung Sepat pada 2 Julai 2023. Foto Facebook Borhan Aman Shah
ADNSELANGOR

Perkasa anak muda melalui industri pelancongan Tanjong Sepat

SHAH ALAM, 15 OGOS: Wakil rakyat Tanjong Sepat akan menumpukan usaha meningkatkan peranan anak muda dalam industri pelancongan kawasan itu.

Borhan Aman Shah berkata melaluinya anak muda boleh menjana pendapatan dari kawasan itu tanpa perlu berhijrah ke bandar sekali gus bertindak sebagai duta pelancongan Tanjong Sepat.

Beliau berkata antara potensi yang dilihat termasuklah mewujudkan perkhidmatan trem dengan pakej tertentu yang membolehkan anak muda menjadi pemandu pelancong kerana mereka lebih kenal selok-belok kampung sendiri.

“Seperti di Kuala Selangor ada perkhidmatan trem dipanggil celurut yang membawa 15 hingga 20 penumpang masuk ke kampung dan saya perlukan anak muda tempatan untuk menjadi pemandu pelancong dan bawa trem ini di sini.

“Kita juga akan galakkan mereka menjana pendapatan di kampung dengan mewujudkan produk sendiri contohnya Tanjong Sepat popular dengan pembuatan kerepek, kopi, pau dan tempe,” katanya kepada Selangorkini.

Borhan berkata selain itu konsep pemerkasaan elemen kebudayaan juga akan diterap sebagai salah satu tarikan pelancongan tempatan.

“Contohnya mereka yang bergiat aktif dalam tarian atau silat, kita panggil buat persembahan di Dataran Batu Laut untuk dipersembahkan kepada pelancong yang bakal menjana pendapatan,” katanya.

Pada pilihan raya negeri Sabtu lalu Borhan menewaskan Sabirin Marsono daripada Perikatan Nasional (PN) selepas meraih 13,860 undi dengan majoriti 2,524 undi.


Pengarang :