Majikan berpeluang mendaftarkan pekerja secara sukarela sepanjang Bulan Pemutihan yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mulai 1 hingga 30 Jun. Foto Arkib Selangorkini
AGENDANASIONAL

Perkeso bantu 63,399 kes pesakit fizikal, mental melalui program RTW

KOTA BHARU, 6 OGOS: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membantu 63,399 kes bermotivasi melibatkan pesakit fizikal dan mental menerusi Program Return To Work (RTW) di seluruh negara bermula 2020 sehingga Jun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata daripada jumlah tersebut, 44,154 Orang Berinsurans (OB) telah berjaya kembali bekerja semula.

“Statistik ini melibatkan 1,663 kes bermotivasi yang diuruskan oleh Pengurus Kes di Kelantan dan daripada jumlah ini seramai 1,128 orang telah kembali bekerja.

“Menerusi program RTW Perkeso, ini bukan sahaja mengembalikan semula pekerja yang telah direhabilitasi berikutan hilang upaya akibat kecederaan atau penyakit ke alam pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Peralatan Bengkel Tajaan Prihatin sebanyak RM4,060 kepada pencarum Tengku Mohamad Amirul Akmal Tengku Ruslan di Kampung Hutan Banggol, Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini hari ini.

Mohammed Azman berkata program itu juga membantu pekerja yang mengalami penyakit psikiatri untuk kembali produktif dalam dunia pekerjaan.

Menurutnya program RTW itu turut dilaksanakan secara kerjasama dengan hospital di Malaysia menerusi program Re-employment Support, Treatment and Rehabilitation Team (Restart).

“Restart adalah kerjasama cawangan RTW Perkeso dengan Pusat Kesihatan Mental Komuniti (Mentari) serta Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Kementerian Kesihatan (KKM).

“Menerusi kerjasama ini, pesakit terbabit dibantu melalui Program RTW Perkeso dan Program Sokongan Pekerjaan sehingga pesakit dapat berdikari dalam pelbagai segi dan mampu bekerja semula,” katanya.

Katanya sehingga sekarang hampir 30 hospital kerajaan di seluruh negara sudah bekerjasama termasuk lima daripadanya di Kelantan iaitu Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Hospital Kuala Krai, Hospital Tanah Merah, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Mentari Ketereh.

– BERNAMA


Pengarang :