AGENSISELANGOR

Pertandingan foto antara menarik program Hari Bertemu Pelanggan PADAT

SHAH ALAM, 22 OGOS: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) mempelawa orang ramai menghadiri program Hari Bertemu Pelanggan, pada 2 September ini.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan, pelbagai acara disediakan  dalam program diadakan di Muzium Sejarah Kuala Selangor itu  termasuk pertandingan fotografi, pameran dan jualan buku.

Jelas agensi itu, program yang bermula jam 10 pagi hingga 4 petang diadakan bagi memaklumkan fungsi dan tawaran perkhidmatan yang disediakan PADAT kepada masyarakat.

“Antara perkhidmatan yang disediakan adalah permohonan lawatan berpandu, permohonan persembahan kebudayaan, penggambaran, serta penyelidikan,” katanya.

PADAT yang sebelum ini dikenali sebagai Lembaga Muzium Selangor merupakan organisasi yang memberi tumpuan kepada aktiviti pameran, penyelidikan, penerbitan dan pengumpulan koleksi sejak 1975.

PADAT dinaungi oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan berfungsi khusus untuk membangun, memelihara dan menyebar luas adat Melayu dan warisan negeri.


Pengarang :