Sekitar Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Bandar Baru Klang di Surau Al Falah Meru pada 24 Ogos 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PKPS harap GLC, syarikat swasta sumbang dana anjur JER

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

SHAH ALAM, 25 OGOS: Lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta diharap menyumbangkan dana kepada penganjuran Jualan Ehsan Rahmah (JER).

Pengurus besar pemasaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata program itu memerlukan banyak dana bagi memastikan penganjurannya lebih meluas dan berterusan.

“Program ini dapat dilaksanakan mengikut dana yang ada, kalau mahu lokasi ditambah maka dana yang diperlukan juga adalah lebih banyak. Kita mampu menawarkan harga barangan lebih murah kerana sumbangan subsidi daripada Kerajaan Negeri.

Pengurus Besar Pemasaran PKPS Rosnani Abdul Malek

“Jadi kita harap lebih banyak GLC dan syarikat swasta turut bersama-sama Kerajaan Negeri menumbang dana bagi tujuan kemasyarakatan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR),” kata Rosnani Abdul Malek pada JER di Taman Sri Pekan semalam.

Mengulas mengenai bekalan barangan, beliau berkata, setakat ini PKPS masih mengekalkan jenis dan kuantiti barangan yang ditetapkan setiap kali program.

“Seperti biasa, barang seperti ayam, beras, ikan, daging, minyak dan telur kita kekalkan pada setiap jualan.

“Bagaimanapun, kita juga cuba untuk membawa barangan tambahan seperti sayur-sayuran dan item lain ke lokasi jualan,” katanya.

C Manikawally

Sementara itu, suri rumah C Manikawally, 70, meluahkan rasa bersyukur kerana jualan murah itu membantu mengurangkan perbelanjaan barang keperluannya setiap bulan.

“Suami saya sudah meninggal dan saya cuma bergantung kepada anak-anak. Jadi jualan ini dapat kurangkan beban anak-anak memandangkan kami bukanlah golongan yang berkemampuan.

“Saya sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang sentiasa prihatin kepada rakyatnya,” katanya.

Aizan Ibrahim

Seorang lagi suri rumah, Aizan Ibrahim, 70, berkata walaupun kesihatan tidak begitu baik, namun itu tidak menjadi penghalang buatnya untuk datang berbelanja di program itu.

“Kebetulan jualan hari ini (semalam) memang dekat dengan rumah, jadi saya tidak lepaskan peluang yang ada datang bersama kawan dan jiran. Kalau lokasi jauh sikit pun, mereka akan bawa saya bersama.

“Memang seronok dapat membeli di sini kerana harganya murah, memang tidak pernah jumpa lagi sekarang ayam seekor hanya RM10,” katanya.

Mohamad Satar Jamal

Pesara tentera, Mohamad Satar Jamal, 83, berharap jualan murah itu dapat diteruskan untuk membantu lebih ramai rakyat yang memerlukan.

“Dalam keadaan harga barangan yang semakin meningkat, ini antara satu cara untuk berjimat.

“Barang yang selalu saya jika ke jualan ini sudah tentu minyak dan ayam kerana biarpun harga murah tapi kualitinya setanding dengan barangan di pasaran luar,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).


Pengarang :