AGENDAJENAYAH

Polis tahan anak dipercayai bunuh bapa

SEREMBAN, 5 OGOS: Polis menahan seorang lelaki disyaki membunuh bapanya dalam satu pergaduhan di hadapan rumah di Taman D’Ambang Kota, Lukut, Port Dickson, pada 1.20 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata polis menerima maklumat kejadian daripada suspek lelaki berusia 26 tahun itu pada 12.45 tengah malam.

Katanya hasil siasatan mendapati sebelum kejadian, mangsa dalam keadaan mabuk telah bergaduh dan memukul suspek.

“Dia memaklumkan bapanya tidak sedarkan diri di hadapan rumah. Punca kejadian dipercayai suspek tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang mengeluarkan perkataan kesat dan membuat bising,” katanya.

Aidi Sham berkata Pembantu Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Bukit Pelandok ke lokasi dan mengesahkan kematian mangsa berusia 49 tahun itu pada 1.15 minit pagi.

Katanya pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing adalah negatif.

– BERNAMA


Pengarang :