Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua Dato’ Seri Amirudin Shari mengangkat sumpah jawatan Dato’ Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 21 Ogos 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Portfolio 10 EXCO Selangor diumum Rabu

KLANG, 21 OGOS: Portfolio 10 ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan diumum pada Rabu sejurus selesai mesyuarat pertama bersama keanggotaan itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan bidang tugas ahli yang melibatkan semua perwakilan parti sudah ditetapkan dengan sebahagiannya adalah muka baharu.

“Rabu nanti saya akan mengadakan mesyuarat EXCO pertama dan sekitar jam 12 atau 12.30 tengah hari saya maklumkan portfolio berkenaan.

“Portfolio sudah ada tetapi biarlah majlis angkat sumpah (EXCO) berlangsung (dahulu),” katanya ditemui selepas mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor buat penggal kedua di pekarangan Istana Alam Shah di sini hari ini.

Istiadat pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor ke-17 dilakukan di hadapan Dulu Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Sementara itu, Amirudin berkata gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) berjaya melepasi ujian pertama pada pilihan raya negeri meski gagal memperoleh dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Namun kita masih mempunyai kelebihan 12 kerusi berbanding pihak lawan. Jadi ia permulaan yang bagus dan kita boleh mengukuhkannya pada masa depan,” katanya.


Pengarang :