Petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita premis di Jalan Bukit Bintang pada 27 Ogos 2023 susulan video tarian separa bogel di hadapan premis berkenaan yang tular di media sosial minggu lepas. Foto Facebook DBKL
AGENDANASIONAL

Premis di Bukit Bintang anjur tarian separuh bogel diarah tutup

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan penutupan serta-merta dan kompaun ke atas sebuah premis di Jalan Bukit Bintang, di sini susulan video tarian separa bogel di hadapan premis itu yang tular di media sosial minggu lepas.

DBKL menerusi hantaran di Facebook rasminya memaklumkan Jabatan Penguatkuasaan pada 23 Ogos lepas telah menjalankan satu tindakan khas di premis terbabit dan mendapati ia mempunyai lesen komposit kedai runcit (barangan kering sahaja) bagi menjalankan aktiviti pasar raya.

Bagaimanapun, menurut DBKL premis terbabit telah dikendalikan oleh empat pekerja warga asing yang tidak mempunyai permit kerja yang sah, masing-masing dua warganegara Bangladesh dan Iran.

“Oleh itu, DBKL telah mengeluarkan satu notis kompaun kerana menggajikan pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah dan satu notis kompaun kerana menjalankan aktiviti selain yang dilesenkan.

Premis itu juga diarahkan untuk ditutup serta merta kerana dikendalikan oleh bukan warganegara,” menurut hantaran itu.

DBKL turut memaklumkan hasil maklumat pekerja premis itu menyatakan kejadian tarian separa bogel itu berlaku pada 5 Julai lepas bersempena dengan sambutan ulang tahun premis tersebut.

-BERNAMA


Pengarang :