Kakitangan syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) giat melaksanakan kerja baik pulih dan menurap Jalan Cross Ban 1, Sabak Bernam pada 8 Ogos 2023. Foto Twitter Infrasel
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Projek baik pulih jalan capai 86 peratus, jangka selesai September

SHAH ALAM, 22 OGOS: Pelaksanaan 93 projek baik pulih jalan secara besar-besaran di seluruh negeri yang dimulakan awal Jun lalu mencapai 86 peratus setakat ini.

Eksekutif operasi Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) berkata pembaikan jalan bawah Projek Turapan Mega dengan kos RM50 juta dijangka selesai pada September.

Abdullah Hanif Abd Ghalib memaklumkan kebanyakan jalan kritikal dibaiki di kawasan perkampungan Orang Asli, hulu dan perumahan penduduk.

“Infrasel selaku agensi pelaksana menerima 118 projek baiki permukaan jalan. Ia dibuat secara berperingkat melibatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pejabat daerah dan tanah (PDT).

“Pihak berkaitan akan menentukan keutamaan jalan yang perlu dibaiki dengan turut mengambil kira aduan orang awam,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut memberitahu beberapa kekangan kecil dihadapi sepanjang melaksanakan kerja baik pulih jalan terutama aspek logistik selain pertukaran jalan saat akhir.

“Kadangkala ada juga yang tertangguh sebab ada kerja pembaikan lain seperti longkang di jalan berkaitan oleh kontraktor. Tetapi keseluruhannya di pihak Infrasel berjalan lancar,” katanya.

Pada 21 Julai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pentadbiran negeri menerusi Infrasel berjaya menyelesaikan lebih 80 peratus masalah jalan raya di Selangor.

Menurut Amirudin syarikat penyelenggara itu dianggarkan menerima antara 600 hingga 700 laporan jalan rosak setiap bulan sejak ditubuhkan dua tahun lalu.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim memaklumkan kerja turapan jalan rosak dilaksana secara besar-besaran di sembilan daerah meliputi jarak 94.9km, bermula bulan lalu.

Beliau berkata projek melibatkan 118 jalan merangkumi jalan PBT, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta PDT.

Jalan terlibat meliputi 66 di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (lapan).


Pengarang :