Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis perasmian Hari Terbuka Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada 5 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Rekod prestasi baik, MB yakin negeri kekal penyumbang utama KDNK 

SHAH ALAM, 5 OGOS: Selangor dijangka kekal menjadi penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga hingga empat tahun lagi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata asas kukuh yang dimiliki Selangor membolehkannya menguasai aktiviti pembangunan ekonomi berbanding negeri lain.

Beliau menjelaskan keyakinan itu juga bersandarkan pencapaian 25.5 peratus yang direkodkan tahun lalu, jauh mengatasi Kuala Lumpur pada kedudukan kedua dengan 15.9 peratus.

“Setiap tahun KDNK kita meningkat. (Meskipun) kerajaan persekutuan juga tumpu kepada negeri lain, namun mereka perlukan masa kerana untuk rangka ekonomi bukan boleh setahun sahaja.

“Saya percaya Selangor akan kekal penyumbang ekonomi nombor satu, paling kurang tiga empat tahun lagi. Jarak kita terlalu jauh untuk negeri lain kejar,” katanya.

Beliau bercakap pada majlis perasmian Hari Terbuka Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri di sini hari ini, yang turut dihadiri Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Selangor mencatat 25.5 peratus KDNK negara tahun lalu, pertumbuhan tertinggi dan sumbangan terbesar sejak Pakatan Harapan (HARAPAN) mentadbir negeri mulai 2008.

Dalam pada itu, Amirudin yakin Selangor mampu kekal sebagai penyumbang terbesar KDNK bagi tempoh lima hingga 10 tahun jika pentadbiran negeri diberi mandat selepas pilihan raya 12 Ogos.

Beliau menjelaskan sasaran itu boleh dicapai menerusi pelan pembangunan lima tahun dalam Tawaran Kita Selangor, yang merangkumi banyak sektor penting bagi meneruskan kemajuan sedia ada.


Pengarang :